ALOR SETAR, 16 November – Seorang peniaga pakaian terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan melakukan perbuatan sumbang mahram terhadap anak kandungnya yang berusia 18 tahun.
Tertuduh, seorang lelaki berusia 49 tahun yang mempunyai lima anak, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan melalui jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan, pagi tadi (Ahad).
Menurut kertas pertuduhan, perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Air Hitam, Kubang Pasu pada pukul 9.00 pagi, 30 Oktober lepas.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri.
Hakim memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 8 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes.