fb fb fb fb fb

Mahkamah benarkan penangguhan penjara 10 tahun terhadap Rosmaini

Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Selasa membenarkan permohonan Rosmaini (tengah) menangguhkan hukuman penjara 10 tahun yang dikenakan ke atasnya sebelum ini. / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 25 Februari – Mahkamah Tinggi Johor Bahru membenarkan penangguhan hukuman penjara 10 tahun terhadap Rosmaini Abdul Raof, 42, yang didapati bersalah mencederakan isteri ketiganya sehingga koma, empat tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas berpendapat bahawa Peruntukan Seksyen 311 Kanun Tatacara Jenayah memberikan budi bicara kepada mahkamah untuk menggantung hukuman sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut berpendapat bahawa pemohon mempunyai isu bermerit, iaitu sama ada keterangan SP1 semasa kes pendakwaan bercanggah dengan dokumen D45 dan D47 sehingga menjejaskan kewibawaan saksi.

Rosmaini dibenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan diwajibkan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga proses rayuan selesai.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Juanita Mohd Said, manakala Rosmaini sebagai pemohon diwakili peguam Kamal Hisyam Jaafar dan Muhammad Nor Tamrin.

Mahkamah menetapkan 7 April ini sebagai tarikh sebutan semula prosiding rayuan induk kes.

Pada 9 Disember lalu, Rosmaini dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana menyebabkan kecederaan parah terhadap Jahidah Nordin @ Slyvester, 46, pada tahun 2021.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah pangsapuri di Kampung Aman, Larkin, Johor Bahru, pada pukul 6.00 pagi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD