KOTA BHARU, 25 Februari – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan cubaan menyeludup 20 ekor biri-biri seberat lebih 600 kilogram di Kampung Seri Merbau, Pasir Mas, Sabtu lalu.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan dilakukan anggota Batalion 8 yang menemui sebuah lori mencurigakan kira-kira pukul 9.20 malam menerusi rondaan Op Taring Wawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat 20 ekor biri-biri di dalam lori tersebut dengan nilai rampasan, termasuk lori, dianggarkan berjumlah RM115,000,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953, dan semua barang rampasan dibawa ke Komtak Taman Bakti, di sini untuk tindakan lanjut.