ALOR SETAR, 14 September - Kejadian pembunuhan membabitkan dua mangsa, seorang wanita dan seorang lelaki, yang ditemui maut dengan kesan tikaman di Taman Nona, Guar Chempedak, Khamis lalu, bermotifkan cemburu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Baderulhisham Baharudin berkata kejadian dipercayai suspek mengesyaki mangsa wanita menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa lelaki berkenaan.
Menurutnya, mangsa wanita berusia lingkungan 28 tahun ditemui dengan lebih 20 kesan tikaman dan kelar pada dada, leher, tangan serta kaki. Manakala, mangsa lelaki pula mengalami sekurang-kurangnya lapan kesan kecederaan serupa di dada, leher dan belakang badan.
Hasil bedah siasat mayat mangsa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati punca kematian wanita akibat luka tikaman pada bahagian dada, manakala lelaki disahkan meninggal dunia akibat luka tikaman pada leher.
Suspek berusia 29 tahun, yang juga bekas suami kepada mangsa wanita, ditahan polis.
Suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan.
Polis turut merampas senjata tajam yang digunakan dalam kejadian tersebut.
Suspek direman enam hari sehingga 17 September untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun jika sabit kesalahan.