BUKIT MERTAJAM, 22 Oktober - Seorang lelaki warga Iran mengaku bersalah atas kesalahan mencuri RM400 milik seorang lelaki tempatan.
Pengakuan bersalah oleh Hossen Yazdanjoo, 40, dibuat di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akil di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri wang bernilai RM400 milik seorang lelaki tempatan di hadapan sebuah rumah di Kampung Cross, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 6.30 petang pada 26 September lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda RM1,500 atau dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.