KOTA BHARU, 22 Oktober- Tokan dadah di Kelantan kini menggunakan taktik baharu bagi menarik golongan remaja menjadi 'pusher' atau pengedar kecil-kecilan, kata Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Beliau berkata, segelintir tokan dadah menunjukkan gaya hidup mewah sebagai umpan untuk menarik minat golongan muda, termasuk mempamerkan kereta mewah dan rumah bernilai jutaan ringgit.
"Golongan muda secara tidak langsung menjadikan pengedar dadah ini sebagai idola kerana kemewahan yang dipamerkan walaupun mereka (tokan dadah) baru berumur baru 30-an atau 40-an.
"Kemewahan itu mendorong remaja ingin meniru cara hidup mereka lalu terlibat sebagai pengedar kecil atau pusher, katanya ketika merasmikan pelancaran Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.
Beliau menambah, pihak polis mempunyai maklumat berkaitan aktiviti itu dan pemantauan sedang dijalankan bagi mengekang gejala tersebut.
Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata, bermula Januari hingga September tahun ini, sebanyak 12 pelajar ditahan kerana penyalahgunaan dadah – Kota Bharu (5), Tanah Merah (4), Pasir Mas (2) dan seorang di Bachok.
Jumlah tangkapan tahun ini adalah setanding dengan tahun 2024, menunjukkan masalah itu masih berterusan.
"Pihak polis komited memerangi najis dadah secara tegas dan berterusan. Ini adalah jihad moden yang wajib dipikul oleh semua pihak," katanya.