KUALA TERENGGANU, 9 April- Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas merempuh papan tanda berhenti Sekatan Jalan Raya (SJR) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu di Jalan Sultan Mohamad, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam operasi penutup Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025.
Menurut Pengarah JPJ Negeri, Mohd Zamri Samion, penunggang berusia 41 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16 itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh papan tanda SJR hingga terjatuh dan mengalami kecederaan di badan.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki itu merupakan seorang mekanik dan mempunyai pelbagai kesalahan termasuk modifikasi ekstrem, tiada lesen memandu, LKM tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans,” katanya.
Jelas Mohd Zamri, tindakan penunggang tersebut bukan sahaja melanggar arahan undang-undang, malah membahayakan keselamatan anggota bertugas.
“Tindakan ekstrem ini akan dikenakan tindakan serius bawah Seksyen 43 dan juga kaedah-kaedah berkaitan pelanggaran undang-undang jalan raya,” ujarnya dalam sidang media di Kuala Terengganu hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, JPJ Terengganu turut merekodkan enam kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang pelaksanaan HRA 2025 dari 24 Mac hingga 8 April.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 25,627 kenderaan telah diperiksa, 4,738 notis dikeluarkan, dan 2,237 kenderaan diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.