KOTA SAMARAHAN, 9 April- Sebuah kilang kelapa sawit di Simunjan dikenakan denda RM22,000.00 kerana gagal menyediakan sistem ‘Permit To Work’ dan pengasingan bekalan elektrik bagi penyenggaraan ‘conveyor’ di kilang tersebut, yang menyebabkan kemalangan ke atas seorang pekerja.
Kenyataan dari Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak memaklumkan bahawa kilang berkenaan telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Mahkamah Sesyen Kota Samarahan menjatuhkan denda itu selepas Syarikat Melur Gemilang Sendirian Berhad mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak Tready, semalam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKKP Sarawak, Tsai Chang Yee.
Kemalangan yang berlaku pada Januari tahun lalu itu menyebabkan seorang pekerja tempatan berumur 50-an kehilangan sebahagian kaki kanannya.