fb fb fb fb fb

Mahkamah benar Bung Moktar & isteri gantung prosiding bela diri

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 April- Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, untuk menangguhkan prosiding pembelaan berhubung tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Rosli Ahmad selepas dimaklumkan oleh peguam M. Athimulan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan berkenaan.

Penangguhan tersebut diberikan sementara menunggu keputusan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, yang sebelum ini memerintahkan pasangan itu membela diri atas pertuduhan yang dihadapi.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan telah menetapkan 11 April ini bagi pengurusan kes semakan tersebut, termasuk penetapan tarikh pendengaran.

Susulan itu, Hakim Rosli menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 18 hingga 20 Ogos, 2 hingga 4 September, dan 24 hingga 26 September 2025.

Tarikh perbicaraan terdahulu iaitu 9 hingga 11 April, 14 dan 15 April, serta 5 dan 6 Mei 2025 dilapangkan.

Mahkamah Rayuan sebelum ini, pada 18 November 2023, telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan memerintahkan pasangan terbabit membela diri, selepas Mahkamah Tinggi membebaskan mereka pada 7 September 2023.

Terdahulu, pada 2 September 2022, Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob mengarahkan kedua-dua mereka membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE