GEORGE TOWN, 9 April- Empat lelaki berusia antara 21 hingga 36 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini atas pertuduhan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM18,000 dalam kejadian 21 Mac lalu.
Tertuduh, P. Veeran, S. Rohan Raj, L. Yuvarajan dan S. Siva, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.
Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa secara bersama dengan sengaja melakukan pemerasan terhadap mangsa berusia 55 tahun dengan menakut-nakutkan kononnya dia bakal ditahan pihak polis, yang mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM18,000.
Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Jalan Helang, Gelugor kira-kira jam 12.30 tengah malam. Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau sebat jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM8,000 setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tidak mengganggu saksi dan mangsa.
Namun, peguam R. Puran yang mewakili keempat-empat tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan pendapatan anak guamnya rendah dan sebahagian mereka mempunyai rekod jenayah lain.
Majistret kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, dan menetapkan 28 April depan untuk sebutan semula kes.
Dalam perkembangan berkaitan, di Mahkamah Majistret berasingan, Rohan Raj dan Veeran sekali lagi dihadapkan atas pertuduhan tambahan melibatkan pemilikan senjata dan penyamaran sebagai anggota polis.
Rohan berdepan dua pertuduhan iaitu memiliki sepucuk pistol tiruan serta menyamar sebagai anggota polis, manakala Veeran pula didakwa menyamar sebagai polis dalam kejadian yang berlaku di lokasi dan waktu sama kira-kira jam 12.30 tengah malam, 21 Mac lalu di Desa Air Mas, Jalan Helang, Gelugor.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini mengendalikan prosiding, manakala kedua-duanya masih diwakili peguam R. Puran.
Mahkamah membenarkan Rohan diikat jamin RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan, manakala Veeran dikenakan jaminan RM6,000. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mei depan.