fb fb fb fb fb

Mayat wanita tanpa kepala, tangan dan kaki disumbat dalam tong sampah ditemukan dalam longkang

FOTO POLIS MELAKA

ALOR GAJAH, 6 Januari- Mayat wanita dipercayai dibunuh ditemukan tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki sebelum disumbat ke dalam tong sampah dan dibuang ke dalam longkang di Kampung Rimau, Pulau Sebang Alor Gajah, Melaka.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu dalam satu kenyataan berkata, lebih menyedihkan mayat wanita dianggarkan berusia 20-an itu dibiarkan tanpa pakaian yang kemudiannya  ditemui orang awam di Jalan Besar Alor Gajah-Tampin pukul 2.00 petang, 31 Disember lalu.

"Mayat reput itu ditemui hanya beralaskan kain berwarna merah selain kepala, kedua kaki paras lutut ke bawah dan tangannya dipercayai dipotong.

"Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh. Mayat kemduiannya dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,"katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Arshad, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga terdekat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah di talian 06-5562222 atau Pegawai Penyiasat Kanan Deputi Supritendan Ali Hanafiah Hashim di talian 019-9536277,"katanya dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE