fb fb fb fb fb

Ceroboh kediaman rasmi MB Selangor, polis sahkan tiga ditahan

Foto Hiasan / Fail

SHAH ALAM, 6 Januari - Tiga pengamal media tempatan direman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berikutan insiden menceroboh masuk ke kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 6.10 petang pada Jumaat, yang dibuat oleh seorang lelaki yang bertugas sebagai pembantu operasi di kediaman berkenaan.

“Siasatan mendapati kesemua suspek menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja untuk memasuki Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, melalui pondok pos pengawal utama tanpa mengemukakan sebarang jemputan secara rasmi daripada pihak kerajaaan negeri.

“Bertindak atas maklumat, pada 7.30 petang tangkapan ke atas kesemua suspek telah dibuat bersama rampasan sebuah kenderaan jenis Proton Waja, yang digunakan oleh mereka,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah Mohd Iqbal, suspek kes berkenaan merupakan tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 31 tahun hingga 35 tahun dan bekerja sebagai pengamal media di sebuah media tempatan, serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 29 saat, memaparkan tiga individu yang dipercayai menceroboh kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Seksyen 7.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN