fb fb fb fb fb

100 warga asing ditahan

FOTO HIASAN

SHAH ALAM, 6 Januari - Polis menahan 100 warga asing termasuk empat wanita dalam satu serbuan di sebuah kilang kitar semula memproses barangan terpakai di Kampung Jalan Kebun, di sini, petang semalam.

Ketua Penolong Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) Bukit Aman SAC Soffian Santong dalam satu kenyataan berkata, serbuan dibuat kira-kira pukul 5.00 petang dengan seorang remaja warga Myanmar disyaki dieksploitasi sebagai buruh paksa berjaya diselamatkan.

"Satu tangkapan dibuat membabitkan lelaki tempatan berusia 60 tahun dipercayai pemilik tanah yang menyewakan kepada warga China untuk operasi kilang memproses barangan terpakai komponen elektronik.

"Siasatan awal mendapati kilang tersebut tidak mempunyai lesen perniagaan dan dipercayai telah beroperasi lebih kurang satu tahun setengah,” katanya menerusi kenyataan itu.

Soffian berkata kesemua yang ditahan berusia 18 hingga 39 tahun terdiri daripada 61 warga Bangladesh, warga China (19), Myanmar (10), Nepal (dua) dan Kemboja (lapan).

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007 dan Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c), Seksyen 39B dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

TETITIA YUSOFF