KULAI, 8 Januari-Mayat seorang wanita warganegara asing ditemukan bersama mayat bayi lelaki di tepi Jalan Impiana 5, Taman Impiana, Kelapa Sawit, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata, kejadian berkenaan dimaklumkan oleh orang awam pada pukul 8.15 pagi.
"Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Kulai dan pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor telah dihantar ke lokasi dan menemukan seorang wanita terbaring di tepi jalan bersama-sama seorang bayi lelaki dengan tali pusat belum dipotong", katanya.
Pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian telah mengesahkan kematian kedua-dua mangsa.
Siasatan awal mendapati, tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada kedua-dua mayat.
Satu organ dipercayai uri turut dijumpai ditempat mayat ditemui.
Kedua-duanya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi tujuan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 316 Kanun Keseksaan.