fb fb fb fb fb

Mayat lelaki ditemukan terapung di Sungai Kawi

Foto IPD Meradong

BINTANGOR, 6 Oktober – Satu mayat lelaki ditemukan terapung di tebing Sungai Kawi di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Tansli Mering berkata penemuan itu disedari kira-kira pukul 1.10 petang apabila seorang pemancing ternampak mayat berkenaan sebelum memaklumkan kepada penduduk Kampung Sungai Kawi yang kemudian menghubungi pihak polis.

Menurutnya, polis dengan bantuan penduduk Rumah Dangat segera ke lokasi menggunakan bot bagi menjejaki kedudukan mayat tersebut, sebelum menemui mayat berkenaan terapung di tebing sungai kira-kira dua kilometer dari rumah panjang itu.

“Ketika ditemui, mayat hanya berpakaian seluar jeans biru tanpa sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pemeriksaan awal mendapati mayat berkenaan tiada kedua-dua belah tangan serta terdapat kesan kecederaan pada hujung kaki kanan, manakala muka dilaporkan sudah membengkak dan mereput.

Mayat tersebut telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sarikei bagi proses bedah siasat dan pengambilan sampel DNA untuk tujuan pengecaman identiti.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis turut menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kes ini agar tampil membantu siasatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN