BUKIT MERTAJAM, 6 Oktober -Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita tiga kenderaan perdagangan yang dipandu warga asing menerusi Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan, bermula 1 hingga 30 September lalu.
Pengarahnya Zulkifly Ismail berkata, sitaan terhadap kenderaan tersebut sekali gus membongkar kegiatan majikan yang menggajikan warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan.
Masing-masing merupakan warganegara Bangladesh, Myanmar dan Pakistan itu didapati memandu kenderaan itu dalam jarak jauh termasuk dari Perak menuju ke utara tanah air.
"Lori jenis 'tipper', satu lori kontena. Warga asing tidak dibenarkan bawa kenderaan perdagangan. Kalau di Pulau Pinang, perkara ini mungkin barulah. Tetapi kalau di Lembah Klang, perkara ini sudah lama sebenarnya.Kebanyakan pengusaha-pengusaha ini cuba mengambil jalan mudah, menggajikan dengan gaji yang murah.
"Sebab itu mereka gajikan warga asing tadi. Betul, dia ada permit dan sebagainya, cuma permit dia itu kerja lain. Tapi dia bawa lori," katanya kepada pemberita dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Juru (Arah Utara) malam tadi.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 19,191 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 1,616 daripadanya telah diambil tindakan.
Turut dikeluarkan 2,946 saman serta 26 kenderaan disita melibatkan pelbagai kesalahan.
Sementara itu, Zulkifly turut memaklumkan bahawa tahap pematuhan terhadap penggunaan Peranti Had Kelajuan (SLD) bagi kenderaan perdagangan masih rendah sepanjang tempoh LIMA hari penguatkuasaan dijalankan bermula 1 Oktober lepas.
"Pada 1 Oktober hingga 5 Oktober, baru lima hari. Jadi kita telah buat pemeriksaan sebanyak 165 buah kenderaan selama lima hari. 31 buah kenderaan ada pemasangan, 91 buah kenderaan telah diambil tindakan yang mana kita bagi notis ke atas aa kenderaan inilah yang yang mana belum pasang lagilah," katanya lagi.
Penguatkuasaan penggunaan SLD melibatkan kenderaan perdagangan yang dibina selepas 1 Januari 2015 membabitkan bas persiaran dan bas ekspres dengan Berat Dengan Muatan (BDM) melebihi 5,000 kilogram (kg) serta kenderaan barangan dengan BDM melebihi 3,500 kg.
SLD adalah peranti keselamatan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum kenderaan perdagangan kepada 90 kilometer (KM) sejam bagi mengurangkan risiko kemalangan maut, mengelakkan pemanduan agresif dan meningkatkan keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya lain.