ISKANDAR PUTERI, 6 Oktober - Polis menahan dua lelaki disyaki terbabit dengan empat kes curi kabel di Gelang Patah, di sini bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan berkata, penahanan melibatkan seorang lelaki tempatan 38 tahun, dan seorang warga asing.
"Hasil serbuan pada 27 dan 29 September lepas turut menemui sebungkus guni berisi kira-kira 8 kilogram kabel curi.
"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak bulan lepas. Mereka menyasarkan stor, tapak pembinaan dan kawasan kilang yang menyimpan wayar (kabel)," jelasnya.
Menurut beliau, suspek warga tempatan yang ditahan positif dadah dan mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 414 dan 447 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 51 Akta Imigresen 1959/63.