fb fb fb fb fb

Mayat dalam but kereta: Pemandu lori didakwa membunuh

Foto RTM

MERSING, 9 Januari-Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret Mersing, Johor, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemui dalam but kereta, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Hasbullah Adam, 36 tahun selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa membunuh Shakirin Mohamad, 28 tahun antara 26 Disember pukul 6.10 pagi hingga 28 Disember pukul 1.50 petang di Tepi Jalan Kilometer 48, Jalan Jemaluang - Kahang, Mersing, Johor.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara selama tempoh tidak kurang dari 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan dikenakan tidak lebih 12 kali sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Foo Fang Leong manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Bohari.

Tiada jaminan dibenarkan.

Mahkamah menetapkan 27 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan kimia, forensik dan lain-lain.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD