IPOH, 9 Januari-Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menumpaskan aktiviti penyelewengan dan ketirisan minyak masak paket bersubsidi selepas merampas 140 kilogram (kg) barang kawalan itu di sebuah premis di Batu Kurau, Taiping, semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamaluddin Ismail dalam kenyataan memaklumkan, serbuan Ops Tiris 3.0 itu dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak berdasarkan maklumat orang awam yang tidak berpuas hati terhadap peniaga yang menjual minyak masak paket 1kg bersubsidi kepada orang tertentu sahaja.
Jelasnya, hasil maklumat tersebut, satu tindakan uji beli melalui Ops Samar telah dilaksanakan dan pihaknya mendapati pekerja premis berkenaan memaklumkan minyak masak peket telah habis dijual.
Curiga dengan jawapan pekerja premis itu, satu pemeriksaan lanjut dilakukan oleh sepasukan Pegawai dan anggota penguat kuasa menemui 140 kg minyak masak peket 1 kg yang disimpan di stor simpanan barang.
Katanya lagi, pasukan KPDN telah mengambil tindakan dengan menyita kesemua 140kg minyak masak peket 1kg tersebut berserta beberapa dokumen berkaitan kerana disyaki secara palsu menafikan mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg dalam milikannya.
Kesemua barang rampasan dianggarkan berjumlah RM350 dan kes akan disiasat di bawah akta Kawalan Bekalan 1961.