fb fb fb fb fb

Mayat bayi ditemukan di taman permainan PPR Gua Musang

Penduduk menunjukkan lokasi penemuan mayat bayi lelaki di kawasan taman permainan PPR Gua Musang

GUA MUSANG, 13 Ogos - Penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang dikejutkan dengan penemuan mayat seorang bayi di kawasan taman permainan perumahan itu, malam tadi.

Mayat bayi lelaki yang dibaluti sehelai kain ditemukan bersebelahan sebuah pondok kira-kira pukul 10.30 malam.

Menurut penduduk, penemuan bayi tersebut dilaporkan oleh dua remaja lelaki yang sedang berehat di kawasan taman permainan berkenaan.

Salah seorang daripada mereka mendakwa terpijak sesuatu di kawasan yang gelap.

"Ada juga rasa curiga dan terkejut kerana sebelum ini tiada sebarang masalah. Kalau boleh kena ambil tindakan. Saya pun tahu pagi ini menerusi gambar yang dihantar menerusi Whatsapp," menurut Norizan Esa, penghuni PPR Gua Musang.

"Terkejut sebab tak pernah berlaku. Mujur ada orang jumpa. Dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan. Tak perasan sebab bungkus kain. Saya tengok dari jauh, nampak darah," kata Nur Asyikin Zahari, penghuni PPR Gua Musang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat bayi berkenaan.

Katanya, bayi itu sudah tidak bernyawa ketika ditemukan penduduk.

Siasatan lanjut masih dijalankan.

MASNIZA AWANG KECHIK