fb fb fb fb fb

Dua remaja perempuan mengaku tidak bersalah kurung, cederakan rakan sekelas

Dua remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan mengurung dan mencederakan rakan sekelas mereka bulan lalu

SUNGAI PETANI, 13 Ogos – Dua remaja perempuan berusia 13 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengurung dan mencederakan rakan sekelas mereka, bulan lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri pagi tadi.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua pelajar tingkatan satu itu secara bersama didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 13 tahun.

Kejadian berlaku di tandas blok tingkatan enam sebuah sekolah menengah di Bedong, pada pukul 6.40 petang, 14 Julai lalu.

Kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka bersama-sama didakwa secara salah mengurung mangsa di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam N. Nagaratnam.

Kedua-dua remaja terbabit dibebaskan dengan jaminan RM2,000 oleh seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mereka juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 23 September ini untuk sebutan semula kes.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN