fb fb fb fb fb

Dua remaja lelaki mengaku salah cederakan 'senior'

Dua remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani atas pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang pelajar tingkatan empat

SUNGAI PETANI, 13 Ogos - Dua remaja lelaki berusia 15 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan.
 
Kedua-dua pelajar terbabit mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majisret Mohamad Azlan Basri.
 
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua mereka didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.
 
Kesalahan itu dilakukan di dewan sebuah sekolah menengah di sini pada pukul 12.15 tengah hari, 21 Julai lalu.
 
Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga dua ribu ringgit atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
 
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hazwani Md Noor.
 
Manakala kedua-dua remaja berkenaan diwakili peguam Farah Azlinda Zahari dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
 
Mahkamah membenarkan kedua-dua remaja dibebaskan dengan jaminan RM1,000 oleh seorang penjamin.
 
Selain itu, kedua-dua tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu mangsa.
 
Mahkamah menetapkan 28 Oktober depan untuk serahan dokumen laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN