fb fb fb fb fb

Polis tahan lelaki serang guru sekolah memandu di Batu Pahat

Foto hiasan

BATU PAHAT, 13 Ogos - Seorang lelaki ditahan di Parit Raja, Batu Pahat, Johor, semalam, dipercayai menyerang seorang guru sekolah memandu hingga cedera di Taman Mutiara, Parit Sulong, pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, mengesahkan kejadian itu susulan laporan yang dibuat mangsa, lelaki berusia 56 tahun.

Insiden dipercayai berlaku apabila suspek berusia 33 tahun, yang menunggang motosikal, menahan kereta mangsa kerana tidak berpuas hati dengan cara pemanduan antara mereka.

“Suspek yang menunggang motosikal telah bertindak menahan kereta dipandu mangsa dan menumbuk cermin hadapan kereta tersebut hingga retak", katanya menerusi kenyataan.

“Mangsa kemudian meneruskan perjalanan hingga ke Balai Polis Parit Sulong sambil diekori suspek, yang kemudian melepaskan tumbukan ketika mangsa turun dari kenderaan sebelum melarikan diri.

Katanya, mangsa juga mengalami kecederaan di dahi. Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

ROSLINA BINTI DIN