SEGAMAT, 14 Oktober - Isu kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak didapati meningkat, dengan sekurang-kurangnya 424,000 orang sepanjang 2022.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata angka itu dilihat semakin bertambah selepas pandemik COVID-19, berdasarkan laporan National Health and Morbidity Survey (NHMS) yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara faktor yang menyebabkan ramai kanak-kanak mengalami isu kesihatan mental adalah disebabkan kurangnya mendapat perhatian daripada ibu bapa serta masalah perhubungan dalam kalangan remaja dan lain- lain.
"Kita diperingkat Menteri Kesihatan memang meniliti dan mengambil berat tentang trend yang berlaku pada hari ini dan kita kita melakukan beberapa intervensi dan kita bekerjasama dengan agensi-agensi lain khusus untuk kanak-kanak bersama-sama Kementerian Pendidikan untuk turun padang memberikan nasihat, pendedahan, penerangan tentang kesihatan mental," kata Dr Zaliha kepada media selepas merasmikan Karnival Segamat Sihat bersempena Sambutan Hari Sukan Negara, Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Kesedaran Kanser, di sini.
Pendedahan itu perlu dihebahkan agar masyarakat mengambil perhatian mengenai kesihatan mental seterusnya membantu mengatasi masalah tersebut.
(Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berucap merasmikan
Karnival Segamat Sihat bersempena Sambutan Hari Sukan Negara,
Hari Kesihatan Mental Sedunia dan Kesedaran Kanser)
Dalam pada itu Dr Zaliha berkata peningkatan peruntukkan sebanyak RM4.89 billion atau 13.45% kepada KKM membolehkan lebih banyak inisiatif dan projek pembangunan kesihatan serta kesejahteraan masyarakat dapat dilaksanakan.
Peruntukkan sebanyak RM41.22 billion yang diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 semalam mampu meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan di Malaysia.
Katanya, dengan peruntukan berkenaan pendekatan tentang menambah baik fasiliti yang daif, kerja-kerja awalan pembinaan hospital dapat difokuskan.
"Kita akan bagi tumpuan dan ini semua bertepatan dengan apa yang kita telah gariskan dalam kertas putih kesihatan yang kita bentangkan di parlimen tempoh hari jadi kita akan melihat tonggak-tonggak itu untuk memberikan yang pertama yang paling penting adalah sudut sistem penyampaian kita kemudian ada juga kita berikan tumpuan kedua iaitu promosi kesihatan," katanya.