fb fb fb fb fb

Masalah keluarga punca kes suami kelar isteri di Bukit Gambir

Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini/RTM

TANGKAK, 4 Jun - Polis mengesahkan motif kejadian seorang penganggur yang mengelar isterinya sehingga mati di sebuah rumah di Bukit Gambir, Tangkak, kelmarin, berpunca daripada masalah keluarga.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Roslan Mohd Talib ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian sebuah kereta dan motosikal yang dibakar suspek, sebelum membawa kepada penemuan kes bunuh tersebut.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berselimut di ruang tamu dengan kesan kelar pada leher.

Sebilah pisau yang berlumuran darah dirampas, dipercayai digunakan untuk mengelar mangsa.

Sementara itu, ibu mangsa Fatimah Seman, 63 tahun reda dengan pemergian anaknya.

Pemergian anak keduanya itu memberi kesan mendalam kepada keluarga memandangkan mangsa disifatkan sebagai seorang anak yang baik.

"Alhamdulillah selepas mak cik terima berita ni, mak cik tenang, Allah beri mak cik kekuatan. Kalau ikutkan hati mak cik dah tumbang dah," kata Fatimah Seman.

Mangsa berusia 34 tahun akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong, Tangkak, selepas proses bedah siasat selesai di Hospital Melaka.

TETITIA YUSOFF