fb fb fb fb fb

10,000 batang rokok dirampas dalam serbuan rumah kosong

10,000 batang rokok putih dirampas dalam serbuan sebuah rumah kosong semalam/Foto PGA Kelantan

TANAH MERAH, 4 Jun – Sebanyak 10,000 batang rokok putih dipercayai rokok seludup berjaya dirampas Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dalam satu serbuan di sebuah rumah kosong di Kampung Pelain, Batu Gajah, di sini, semalam.

PGA menerusi hantaran di Facebook berkata, serbuan kira-kira pukul 3 petang itu dilakukan hasil risikan dan maklumat orang awam menerusi pelaksanaan Op Taring Wawasan Kelantan.

"Pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok putih dipercayai untuk pasaran tempatan dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM18,700.00.

“Rokok-rokok tersebut disyaki diperoleh secara haram dan disimpan untuk tujuan edaran di pasaran tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dan kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada JSJ IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

PGA dalam kenyataan sama menegaskan komitmen pihaknya untuk terus mempergiatkan operasi di sempadan bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa dan mengancam keselamatan serta ekonomi negara.

GRACE AISYAH KEDAYAN