SEPANG, 4 Jun - Hasrat penyanyi tanah air, Amir UK's untuk menunaikan ibadah haji bersama isterinya Sarimah Ahmad, 51 tidak kesampaian apabila mereka antara 80 bakal jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam selepas didakwa menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.
Amir atau nama sebenarnya Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56, berkata segala-galanya bermula apabila isterinya dimaklumkan oleh seorang rakan sekerja pada 9 April mengenai peluang mengerjakan haji secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh seorang individu dermawan.
Susulan itu, selepas memberikan butiran diri dan salinan pasport, beliau dan isterinya dimasukkan ke dalam platform WhatsApp bernama "Tetamu Allah Haji Akbar 2025".
"Agensi pelancongan yang sepatutnya menguruskan kami tidak juga muncul. Saya masih berharap kerana dimaklumkan bahawa kami akan berlepas selepas Subuh melalui penerbangan sewa khas (charter flight), seperti yang diberitahu oleh seorang individu yang menguruskan jemaah lain," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, mereka juga telah menjalani kursus haji di Ampang pada 24 Mei lalu dan dijanjikan visa mujamalah.
"Tunggu punya tunggu, sampai hampir pukul 5 pagi pun tiada sebarang panggilan. Kemudian dia ada maklumkan bahawa ada seorang jemaah yang uruskan pasport, visa dan tiket sedang dalam perjalanan. Tapi selepas lama menunggu, masih tiada siapa yang muncul. Waktu itulah saya mula rasa ada sesuatu yang tidak kena," katanya.
Beliau berkata, keseluruhan kos persediaan termasuk perbelanjaan peribadi, dokumen dan pakaian ihram dianggarkan melebihi RM4,000, namun mereka dijanjikan akan menerima bayaran semula berserta wang saku daripada pihak yang dikatakan sebagai penaja.
Menurut Amir, surat tawaran haji yang kononnya daripada sebuah agensi pelancongan terkenal telah dikongsi melalui aplikasi WhatsApp pada 27 Mei lalu,
Katanya, mereka juga turut dijanjikan akan menerima visa mujamalah bagi membolehkan ibadah itu ditunaikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman mengesahkan pihaknya menerima tujuh laporan berhubung kes berkenaan yang dibuat oleh beberapa jemaah haji yang terkandas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.