LUMUT, 17 Disember-Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan warga asing, termasuk tekong warga tempatan pada kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Sungai Tiang, pada Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12:20 tengah hari itu, bot berkenaan dikesan sepasukan bot ronda Maritim Malaysia, ketika nelayan terbabit sedang melakukan aktiviti perikanan.
Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot tersebut dikendalikan seorang tekong warga tempatan bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut turut mendapati, bot terbabit disyaki melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan selain kru disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Menurutnya, semua nelayan terbabit telah ditahan, manakala bot dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan kurang dari 15 batu nautika dari daratan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.