𝗞𝗟𝗔𝗡𝗚, 𝟰 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 - Sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Selangor di kedudukan kira-kira satu batu nautika barat Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang, di sini semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh, dalam satu kenyataan memaklumkan penahanan itu dibuat kira-kira pukul 1.30 tengah hari oleh kapal Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin Op Ehsan, Op Murni dan Op Tiris 3.0 di perairan Selangor.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal terbabit dikendali seorang kapten warga Indonesia berumur 43 tahun, bersama enam kru berumur lingkungan 21 hingga 51 tahun yang juga warga Indonesia.
Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
Kapten dan seorang pegawai jurutera kapal ditahan untuk siasatan lanjut - Foto Maritim Malaysia
"Hasil pengeledahan ke atas kapal berkenaan telah menemui sejumlah minyak diesel dianggarkan sebanyak 62,000 liter dan kapten kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen untuk membawa barang kawalan tersebut.
"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan. Berikutan itu kapten kapal dan seorang pegawai jurutera telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta kawalan bekalan 1961.
"Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor," tegasnya.