fb fb fb fb fb

Cubaan seludup dadah, menyamar sebagai nelayan gagal

Foto hiasan

KUALA PERLIS, 3 Julai - Taktik menyamar sebagai nelayan untuk menyeludup masuk dadah ke perairan negara tumpas apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mematahkan cubaan itu, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, tindakan itu dikesan sekitar pukul 3.30 pagi oleh pasukan operasi Maritim Kuala Perlis pada jarak kurang 600 meter dari pesisir pantai.

Katanya, suspek bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan memecut bot ke kawasan berlumpur sebelum meloloskan diri, meninggalkan bot yang sarat dengan muatan dadah.

Hasil pemeriksaan ke atas bot kayu yang ditinggalkan, pasukan menemui beberapa guni berisi dadah disyaki ganja, bersama pukat yang dipercayai digunakan sebagai helah untuk mengaburi pihak berkuasa

"Kesemuanya berjumlah 157 pek dengan berat sebanyak 170.1 kilogram. Nilai rampasan dianggarkan kira-kira RM900,000. Daripada jumlah ini, dadah tersebut boleh digunakan oleh kira-kira 30,000 penagih. Ini merupakan kejayaan pertama Maritim Malaysia bagi tahun 2025," katanya.

Tambah beliau, dadah berkenaan dipercayai akan didaratkan di sekitar perairan Perlis sebelum diambil individu lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

TETITIA YUSOFF