IPOH, 5 Januari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B di kedudukan 16.9 batu nautika barat daya Pulau Kalumpang Perak kerana disyaki melanggar syarat sah lesen.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, hasil pemeriksaan menemukan seramai tiga orang nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur 42 hingga 44 tahun dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah berada di bot terbabit.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot terbabit memiliki lesen yang sah namun tidak diusahakan sendiri oleh pemilik dan tiada kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kesemua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia.
Kes disiasat bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemilik serta tiada kebenaran penggunaan kru warga asing yang sah.