fb fb fb fb fb

Rasuah RM6 juta: CEO persatuan bola sepak antara empat individu direman

Empat suspek dibawa ke Mahkamah Majistret bagi mendapatkan perintahan tahanan reman di Alor Setar

ALOR SETAR, 5 Januari- Empat lelaki termasuk seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding sebuah persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air ditahan reman kerana disyaki meminta serta menerima wang rasuah lebih RM6 juta.

Perintah reman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 7 Januari depan terhadap keempat-empat suspek itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret sini, pagi tadi.
 
Menurut sumber, keempat-empat suspek berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan sekitar pukul 5.00 petang hingga pukul 6.30 petang semalam ketika hadir ke Pejabat SPRM Kedah untuk rakaman keterangan.
 
Berdasarkan siasatan, wang lebih RM6 juta telah dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.
 
Ia dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik sebuah syarikat untuk mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri.
 
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap keempat-empat suspek berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.

SITI AISHAH BINTI MD ISA