fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia rampas 350 bubu naga

Foto Maritim Malaysia

KUALA KEDAH, 18 Februari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 350 set bubu naga atau bubu kambang dalam operasi khas rampasan yang dijalankan dalam tempoh 36 jam bermula Jumaat lepas.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, operasi ini merupakan hasil pemantauan yang dilaksanakan di beberapa lokasi di sepanjang perairan Kuala Kangkong hingga ke Kuala Kedah.

Beliau berkata anggota bot ronda Maritim Malaysia menemui pelbagai taktik penyamaran yang digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa sepanjang tempoh tersebut.

“Antara teknik yang digunakan adalah dengan mengubah lokasi semasa pemasangan bubu, meletakkan pelampung penanda seperti botol, pancang kayu, gabus putih, peralatan seperti GPS pada setiap bubu naga yang berukuran kira-kira 10 meter panjang itu", katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesemua bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai hampir RM53,000 itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Tegas Komander Maritim Noor Azreyanti, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undangundang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD