KUALA LUMPUR, 18 Februari-Suspek kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor pada 8 Februari lalu, maut akibat ditembak di sebuah hotel di Pulau Ketam pada awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dalam kenyataan memaklumkan lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan ditembak oleh pasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Selangor kira-kira pukul 3.00 pagi tadi.
"Berlaku insiden tembak-menembak antara pasukan polis dan penjenayah di sebuah hotel.
"Pasukan polis berjaya menembak mati seorang lelaki warganegara dalam lingkungan umur pertengahan 30 tahun", katanya dalam kenyataan.
Hussein turut menjelaskan pihaknya turut menemui dua pucuk senjata api bersama peluru dalam serbuan tersebut.
Tambah Hussein, suspek juga mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk satu kes dadah dan tujuh kes samun.
Dalam kejadian pukul 10.00 malam pada 8 Februari lalu, suspek dilapor melepaskan empat das tembakan terhadap seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di pusat beli belah di Setia Alam.