fb fb fb fb fb

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup bahan kimia bernilai RM15 juta

Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

KUALA LINGGI, 5 Mei- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan berjaya mematahkan cubaan menyeludup bahan kimia yang disyaki digunakan untuk memproses dadah bernilai RM15 juta pada 1 Mei lalu.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan yang dibuat di perairan Pengkalan Balak, Melaka membabitkan 179 botol cecair bahan kimia yang boleh menghasilkan 150 kilogram (kg) dadah sintetik.

Beliau berkata rampasan itu dibuat hasil kerjasama Unit Risikan Maritim Negeri bersama Bahagian Risikan Maritim (MIND) dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Jelasnya, siasatan lanjut akan dijalankan dan tidak menolak penglibatan rakyat tempatan dalam kes penyeludupan tersebut.

"Setakat ini, tiada tangkapan dibuat. Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Maritim Melaka Negeri Sembilan bagi mengenal pasti kenderaan darat yang disyaki menghantar bahan kimia berkenaan sebelum ia dipindahkan ke dalam bot yang berada di sekitar ini ketika rampasan dilakukan. Pasukan Benteng 04 turut melaksanakan pemeriksaan ke atas beberapa bot yang berada di sekitar perairan Pengkalan Balak.

"Bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dibuat ke atas bot-bot tersebut yang disyaki", katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan di Kuala Linggi.

Hadir sama, Pemangku Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Norrimi Hassan serta Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Leftenan Komander Maritim Abd Hafis Hussin.

Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952.

ROSLINA BINTI DIN