SETIU, 5 Mei – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menggagalkan cubaan sindiket dadah antarabangsa menggunakan perairan Terengganu bernilai RM25 juta dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan pada 23 April lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis (DCP) Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali, berkata sindiket itu menyeludup dadah dari negara jiran dan menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum dadah tersebut dihantar ke luar negara.
“Hasil daripada maklumat awal, kita dapati dadah ini masuk melalui kawasan Segi Tiga Emas (Golden Triangle). Sindiket menggunakan kapal nelayan besar dari negara jiran dan memasuki perairan antarabangsa sebelum masuk ke Malaysia menggunakan kapal berdaftar dari Vietnam,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu hari ini.
“Mereka kemudiannya membawa dadah itu masuk ke Setiu untuk proses pembungkusan semula (repacking), dan dari situ, ia akan dihantar menggunakan bot besar terus ke Australia,” tambahnya lagi.
Jelasnya, sindiket itu dipercayai mula aktif sejak awal Mac dengan menggunakan modus operandi menyewa bot memancing berharga RM4,800 untuk menyeludup dadah ke negara ini.
Jelasnya, dalam serbuan pertama kira-kira pukul 9.00 malam, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan ketika sedang memunggah beg dari bot ke tebing sungai di kawasan Setiu.
Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 29 beg pelbagai warna yang mengandungi 470 bungkusan dadah disyaki methamphetamine seberat 479.27 kilogram dan 297 ketulan heroin seberat 109.89 kilogram.
Satu lagi serbuan dijalankan kira-kira sejam kemudian dengan bantuan Pasukan Gerakan Marin, yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki berusia 39 tahun di tepi Pulau Tok Bilal, juga di Sungai Setiu. Suspek kedua ditahan bersama sebuah beg galas yang mengandungi satu bungkusan plastik dadah disyaki methamphetamine seberat 1.02 kilogram.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas membabitkan 480.29 kilogram methamphetamine dan 109.89 kilogram heroin, dengan nilai anggaran pasaran melebihi RM25 juta.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin.
Menurut Mat Zani, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek menunjukkan keputusan negatif, namun semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod jenayah lampau, termasuk satu berkaitan kes narkotik.
JSJN turut bertindak menyita harta milik sindiket berkenaan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan nilai rampasan kira-kira RM46,000.
Rampasan tersebut melibatkan tiga kenderaan, dua barangan kemas, sebuah topi keledar mewah, serta wang tunai sebanyak RM1,631.
Kesemua suspek kini direman selama 14 hari bermula 24 April hingga 7 Mei, manakala siasatan lanjut sedang giat dijalankan untuk mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.