fb fb fb fb fb

Kadar kecurian kenderaan turun sehingga 80% sejak 2013

Datuk Ooi Win Juat ditemui pada majlis pelancaran kempen “Lindungi Kenderaan Anda, Lindungi Nyawa Anda”.

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Statistik menunjukkan kadar kecurian kenderaan di Malaysia mencatatkan penurunan konsisten antara 70 hingga 80 peratus sejak tahun 2013.

Pengerusi Pengurangan Kecurian Kenderaan dan Kemalangan Jalan Raya Malaysia (VTAREC), Datuk Ooi Win Juat berkata, penurunan ini hasil kerjasama strategik VTAREC bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan industri insurans.

Data bagi tahun 2024 menunjukkan penurunan 10 peratus, iaitu daripada 4,370 kes pada tahun 2023 kepada 3,925 kes tahun lalu.

Pecahan kategori mendedahkan penurunan ketara bagi motokar sebanyak 18 peratus, manakala kecurian motorsikal turun sebanyak tiga peratus.

Namun begitu, kenderaan komersial mencatatkan peningkatan sebanyak enam peratus, yang memerlukan tindakan lanjut daripada pihak berkaitan.

Sejajar pencapaian tersebut,VTAREC melancarkan Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan dan Keselamatan Jalan Raya 2025, bersempena Majlis Soft Launching dan pelancaran logo rasmi baharu VTAREC serta logo kempen bertemakan “Lindungi Kenderaan Anda, Lindungi Nyawa Anda”.

Koordinator VTAREC, Mas Tina Abdul Hamid pula memaklumkan kempen selama setahun ini memberi tumpuan kepada kesedaran awam tentang pencegahan kecurian kenderaan, kepentingan insurans, pemilikan lesen memandu yang sah serta keselamatan jalan raya secara menyeluruh.

Kempen ini merupakan lanjutan komitmen VTAREC sejak 2007 dan kini diselaraskan dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina persekitaran yang lebih selamat dan sejahtera bagi semua rakyat Malaysia.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI