fb fb fb fb fb

Cubaan sorok dadah lebih RM500,000 gagal, 18kg syabu dirampas

FOTO JKDM KELANTAN

PASIR MAS, 10 April- Cubaan menyeludup dadah bernilai lebih setengah juta ringgit yang disorok dalam guni berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan dalam satu serbuan di Kampung Resak, Pasir Mas.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menerusi satu kenyataan memaklumkan, serbuan oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu kira-kira pukul 7.18 pagi itu menemui sebuah guni mencurigakan di dalam sebuah kereta yang ditinggalkan di kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 18.032 kilogram bahan disyaki dadah jenis methamphetamine yang dibungkus dalam 17 ketulan mampat mengandungi serbuk putih jernih menyerupai kristal.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan lebih RM585,000 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati kenderaan tersebut dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum dadah berkenaan diedarkan kepada pelanggan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE