PASIR PUTEH, 18 November- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 510,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM180,000 di perairan Tumpat, Kelantan.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, penyeludupan itu menggunakan bot pancung dikesan hasil maklumat risikan kira-kira pukul 4.00 pagi pada Jumaat lalu.
Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan laju dan mencurigakan di muara Sungai Tumpat sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim Kelantan.
Bot peronda maritim bertindak mengejar bot pancung berwarna biru tersebut hampir 20 minit sehingga memasuki kawasan hutan bakau dan penyeludup bertindak merempuh pokok bakau di kawasan tersebut.
"Bot pancung tersebut berjaya ditahan di kedudukan kira-kira lima batu nautika dari Muara Pengkalan Kubor pukul 4.20 pagi. Namun suspek telah berjaya meloloskan diri dipercayai melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.
"Keadaan air surut, gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi mengeluarkan bot pancung bersama-sama muatan yang terkandas itu untuk dibawa ke jeti maritim Kelantan bagi tindakan lanjut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat Maritim Kelantan di sini.
Bot pancung dengan muatan rokok putih bersama-sama tiga enjin 200 kuasa kuda setiap satu itu dirampas dan menjadikan anggarkan keseluruhan nilai rampasan bernilai RM500,000.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967.