fb fb fb fb fb

11 lelaki tempatan ditahan terlibat edar daun ketum

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Ku Mashariman Ku Mahmood ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 18 November- Polis menahan 11 lelaki tempatan berusia lingkungan 27 hingga 47 tahun dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran daun ketum di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner (ACP) Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kesemua suspek itu ditahan kira-kira pukul 8.50 malam di sebuah stor di Taman Tan Yei Lai di ibu negara.

Penahanan itu ketika mereka sedang memunggah bahan berkenaan di hadapan premis disyaki dijadikan tempat penyimpanan daun ketum dan ubat batuk.

Beliau berkata sebanyak 1,374 kilogram (kg) daun ketum dan 50 liter cecair kodein (ubat batuk ) turut dirampas dalam serbuan itu.

"Hasil daripada siasatan awal pihak polis mendapati, suspek bekerja sebagai pemandu lori terlibat dengan aktiviti pengedaran daun ketum ini kira-kira tiga bulan lalu. Bekalan daun ketum diperoleh dari negara jiran di kawasan utara Semenanjung Malaysia.

"Kita percaya daun-daun ketum ini dibawa masuk dari negara sempadan seterusnya bekalan yang diambil ini akan diedarkan di sekitar kawasan Lembah Klang dengan kekerapan tempoh satu minggu sekali," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, di ibu negara.

Sementara itu ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah dan hasil semakan juga mendapati enam daripada suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Kesemua mereka direman tujuh hari sehingga 22 November bagi membantu siasatan.

Kes disiasat bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI