KUALA LUMPUR, 18 November- Proses bedah siasat ke atas mayat seorang wanita yang ditemukan dalam peti sejuk beku di sebuah rumah di Taman OUG, di ibu negara masih diteruskan.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisen Komisioner (ACP) Ku Mashariman Ku Mahmood berkata Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti (PPUM) perlu membuat penelitian susulan jasad wanita itu dipercayai berada dalam keadaan beku selama tiga tahun.
"Keberangkalian besar kita akan sambung lagi tahanan reman memandangkan kesihatan beliau belum pulih 100 peratus.
"Pihak doktor masih memerlukan masa untuk membuat penilaian terhadap suspek dari sudut kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di ibu negara.
Dalam pada itu beliau juga memaklumkan lima orang saksi yang terdiri daripada jiran-jiran dan anggota polis yang pertama menerima maklumat telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Pada 12 November lepas, polis menahan seorang lelaki susulan penemuan mayat seorang wanita dalam peti sejuk di sebuah rumah di Taman OUG kira-kira pukul 8.45 pagi.