fb fb fb fb fb

Sembilan individu didakwa miliki minyak diesel tanpa lesen

FOTO RTM

KUALA TERENGGANU, 18 November- Sembilan individu termasuk tiga pemilik syarikat logistik didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini atas kesalahan memiliki 34,740 liter minyak diesel tanpa lesen untuk tujuan runcit atau borong.

Tertuduh berusia dalam lingkungan 29 hingga 63 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 1.55 pagi hingga 9.30 pagi di tiga lokasi berbeza di mukim Kuala Paka dan Kampung Cacar, Paka di Dungun pada 6 Julai lalu.

Mengikut pertuduhan, tiga pemilik syarikat iaitu Hasdi Mustapa, 43 tahun, Hirool Farihan Hussin, 41 tahun dan Abd Mukmin A. Razak, 36 tahun selaku pemilik syarikat HMH Truck didapati secara syak munasabah memiliki 29,070 liter barang kawalan iaitu diesel. 

Barangan kawalan berjadual itu disimpan di dalam tangki simpanan semi treler, di Kampung Cacar, Paka, Dungun pada 6 Julai 2023.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Manakala, enam lagi tertuduh iaitu Azni Zabar, 39 tahun,  Mohd Luqman Ramli, 31 tahun, Hasrul Azly Mustapa, 32 tahun, Mohamad Saufi Abdull Ghapa 29 tahun,  Mohd Rozi Mohd Zain 38 tahun dan Che Harun Mat Jusoh 63 tahun didakwa mengikut seksyen sama. 

Kesemua mereka didakwa memiliki baki 5,669.66 liter minyak diesel yang disimpan di dalam tangki kenderaan dan tangki tambahan plastik di dua stesen minyak di sekitar Paka, pada tarikh sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 

Bagi kesalahan kedua dan seterusnya tertuduh berdepan hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin antara RM3,000 hingga RM8,000.

Tertuduh juga tidak dibenarkan menggangu saksi pendakwaan dan sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember depan.

Pendakwaan bagi kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KPDN, Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde dan Mohd Aiman Ariff Mohd Zaida.

Trainee