SHAH ALAM, 14 Januari – Seorang warga emas berusia 61 tahun mengalami kerugian sebanyak RM1.63 juta selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang kripto dalam talian.
Mangsa, seorang pengurus syarikat swasta, dikatakan tertarik dengan iklan pelaburan kripto mata wang asing yang dilihat di Facebook.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mangsa menghubungi suspek melalui panggilan telefon dan diberi satu pautan untuk pelaburan tersebut.
“Mangsa kemudiannya membuat 15 kali pindahan wang secara dalam talian ke dalam enam akaun bank berbeza untuk membeli mata wang USD yang kononnya akan ditukar kepada mata wang kripto. Namun, mangsa tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan,” katanya menerusi kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.