SUNGAI PETANI, 15 Januari-Jabatan Kesihatan Negeri Kedah merampas pelbagai produk yang mengandungi racun berjadual, produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang disyaki melibatkan warga Bangladesh.
Ia hasil operasi “Ops Asing” yang dilakukan oleh jabatan itu melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Kedah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas enam buah premis perniagaan di sekitar bandar Sungai Petani pada 9 Januari lalu.
Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Ismuni Bohari berkata, operasi dilakukan bagi mengambil tindakan ke atas penjualan produk yang mengandungi racun berjadual, produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang disyaki
melibatkan warganegara Bangladesh.
Dalam operasi tersebut, pihaknya berjaya merampas 75 produk racun berjadual, 79 produk tidak berdaftar dan 75 produk kosmetik tidak bernotifikasi dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM63,747
Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan tidak mempunyai sebarang lesen dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.
Produk yang dirampas ini disyaki untuk tujuan jualan di pasaran tempatan.
Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Jualan Dadah 1952.
Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Racun 1952, pihak yang berkaitan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Jualan Dadah 1952, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
Bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa membeli apa-apa produk kesihatan dan kosmetik yang dijual secara dalam talian serta memastikan produk-produk kesihatan dan kosmetik yang dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang yang dikuatkuasakan.