SEPANG, 14 Januari – Seorang warga United Kingdom dikenakan denda RM700 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Jumaat lepas.
Polak Kendon, 57 tahun, membuat pengakuan itu setelah pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan di Mahkamah Majistret Sepang.
Menurut pertuduhan, Kendon memasuki kawasan larangan dari kawasan terbuka tanpa menggunakan pas yang sah.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 5(1) Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun, denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur 'Ain Madihah Zulkifli, manakala Kendon diwakili peguam Muhammad Aidil Akmal Sharidan.
Tertuduh kemudiannya membayar denda tersebut.