NARATHIWAT, 14 Januari- Penyanyi wanita Kelantan bersama suami dan empat lagi individu didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand, hari ini.
Tertuduh, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, suaminya, Mohd. Affendi Ahmad, bersama empat individu, Erdieka Mohd. Noor, Mohamad Alif Deraman, Nur Aida Mamat dan Zuhaira Nasrin mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Kesemua mereka bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di salah sebuah hotel di Sungai Golok , selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan sendiri oleh Hakim Yuan Khao Kham di Bilik 9, Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand.
Khao Kham kemudiannya memerintahkan kesemua tertuduh mengemukakan bukti kukuh bahawa mereka tidak memiliki kesemua dadah tersebut sebelum perbicaraan kes dijalankan pada 11 Februari nanti.
Sementara itu, dua daripada enam yang didakwa, Erdieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara itu.
Kesemua tertuduh diwakili tiga peguam dan mahkamah menetapkan perbicaraan kes pada 11,13 dan 14 Februari manakala awal Mac depan bagi prosiding jatuh hukum.
Media melaporkan, enam rakyat Malaysia ditahan pada 1 November tahun lalu selepas pihak berkuasa Thailand menjumpai lebih 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia 25 hingga 34 tahun ditangkap dalam sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan yang terletak di tingkat bawah hotel berkenaan.