fb fb fb fb fb

Maklumat saksi bocor, peguam buat laporan polis

Datuk Ram Singh

KOTA KINABALU, 20 September - Peguam, Datuk Ram Singh membuat laporan polis berhubung kebocoran maklumat melibatkan seorang saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir.

Datuk Ram, yang mewakili saksi dikenali sebagai Pelajar A, berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Luyang kira-kira pukul 4 petang, semalam.

Ketika dihubungi pemberita RTM, beliau menyatakan pelajar A dan keluarganya bersetuju untuk memberi kenyataan saksi seperti dijadualkan, minggu hadapan.

Datuk Ram juga memaklumkan terdapat permemohon perlindungan untuk saksi tersebut.

Mengulas mengenai laporan polis tersebut, Datuk Ram menegaskan mahu pihak berkuasa menyiasat pelanggaran kerahsiaan berkenaan.

Ini termasuk mengenal pasti pihak membocorkan maklumat.

"Tindakan sewajarnya perlu diambil bagi melindungi saksi dan menjaga integriti prosiding inkues," katanya.

Terdahulu, saksi kanak-kanak atau Pelajar A, sepatutnya memberi keterangan selepas saksi kelapan, Azhari Abd. Sagap.

Bagaimanapun, insiden kebocoran maklumat menyebabkan prosiding yang telah memasuki hari ke-10, ditangguhkan ke Isnin, selepas kanak-kanak tersebut didapati tidak stabil dari segi emosi.

Menurut Datuk Ram, maklumat didapati bocor itu, termasuk kenyataan saksi yang sepatutnya dikemukakan di Mahkamah Koroner, namun, telah tersebar luas di media sosial termasuk menerusi WhatsApp.

Sebuah video di TikTok turut mendedahkan nama lima pelajar lain.

Insiden itu menimbulkan tekanan kepada anak guamnya serta keluarga saksi, selain jelas melanggar undang-undang di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan peruntukan lain berkaitan kerahsiaan prosiding mahkamah.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID