ISKANDAR PUTERI, 20 September – Seramai 29 individu berusia antara 14 hingga 28 tahun ditahan polis bersama 27 motosikal dalam operasi membanteras kegiatan lumba haram di sekitar Iskandar Puteri, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) M. Kumarasan berkata tangkapan dilakukan menerusi operasi samseng jalanan di Kilometer 6.2 Lebuhraya Link Kedua serta Lebuhraya Johor Bahru–Pontian.
“Turut ditahan ialah dua lelaki warga asing berusia 19 tahun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi turut mengeluarkan sebanyak 64 saman atas pelbagai kesalahan termasuk spesifikasi kenderaan, selain menyita 25 motosikal kerana melakukan ubah suai ekzos, nombor pendaftaran, tiada lesen memandu serta tiada cermin sisi.
Tindakan diambil mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987.