fb fb fb fb fb

Mahkamah tolak bantahan awal pihak pembelaan kes Zayn Rayyan

Pasangan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal

PETALING JAYA, 3 Februari- Mahkamah Sesyen di sini menolak bantahan awal pihak pembelaan terhadap pertuduhan pasangan, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang didakwa mengabaikan anak mereka Zayn Rayyan Abdul Matin dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal adalah defektif atau cacat.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan peguambela Haresh Mahadevan.

Setelah meneliti bantahan awal tertuduh-tertuduh dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, pihak mahkamah mendapati pertuduhan dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan dan bersifat tidak defektif.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri berusia 30 tahun itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka berusia enam tahun, didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di Damansara Damai, Selangor, antara pukul 12.00 tengah hari, 5 Disember dan pukul 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, pihak pembelaan telah memfailkan notis usul bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi sekali gus memohon dilepas dan dibebaskan

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI