JOHOR BAHRU, 3 Februari- Polis sedang memburu seorang lelaki berusia 25 tahun yang disyaki membakar kereta milik isterinya dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Jalan Tebrau, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Raub Selamat berkata kejadian berlaku sekitar pukul 10.20 malam apabila suspek bertindak menyekat kenderaan mangsa sebelum menyimbah petrol dan membakarnya.
Selepas insiden itu, suspek melarikan diri, sementara mangsa mengalami kerugian dianggarkan RM90,000.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara pasangan tersebut berkaitan isu rumah tangga.
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.